Saturday 15 August 2015

PENGENALAN TAJUK UTAMA

     Dalam sesebuah masyarakat majmuk maka tunjang perpaduan terletak kepada hubungan baik antara kaum. Bagi merealisasikan perpaduan dalam sesebuah masyarakat, kerjasama dan tolak ansur antara mereka sangat penting demi untuk memastikan kesejahteraan hidup dapat dikecapi bersama. Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat istimewa sekiranya dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia ini. Keistimewaan Malaysia ialah merupakan sebuah negara kecil dan dalamnya terdapat kombinasi komuniti yang pelbagai. Malah, terdapat pula latar belakang yang berbeza-beza termasuklah adat, budaya, keturunan, bahasa dan agama. Kepelbagaian inilah yang membuatkan Malaysia sentiasa dipandang oleh masyarakat antarabangsa yang lain khususnya sebagai model atau destinasi pelancongan luar negara. 
  
     Kemakmuran Malaysia hari ini merupakan hasil daripada satu proses sejarah yang panjang. Perpaduan yang wujud di Malaysia hari ini sesungguhnya merupakan sebuah kebahagiaan yang telah melalui beberapa proses interaksi, integrasi dan asimilasi antara masyarakat pribumi tempatan dengan masyarakat bukan pribumi tempatan. Proses ini mengambil masa yang agak panjang dan turut melalui zaman kedukaan. Melalui proses sejarah yang dilalui negara Malaysia, maka hari ini boleh dilihat bahawa perpaduan masyarakat Malaysia sangat utuh. 

     Timbul juga persoalan sejauh manakah kekuatan dan saemangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang memiliki kepelbagaian latar belakang? Sering kali kita lihat keutuhan perpaduan kaum di Malaysia tergugat atau menimbulkan perasaan tidak puas hati antara kaum yang wujud di negara ini.
   




     Menurut Shamsul Amri (2007) integrasi ialah satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi budaya, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Noriati A.Rashid (2010) pula menyatakan integrasi nasional merupakan satu proses penyatuan antara kumpulan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, status sosial dan budaya untuk membentuk entiti yang mempunyai pegangan norma serta mengamalkan kehidupan bersama. Daripada penyatuan yang terbentuk, maka akan wujudlah perkongsian persefahaman dan pemikiran antara kaum di dalam sesebuah negara.

     Integrasi sebegini merupakan satu proses yang berlaku hasil ikatan batin, iaitu ikatan perasaan antara manusia sendiri. Ia adalah proses kerohanian atau spiritual yang merupakan hasil daripada satu penghayatan di mana akhirnya berlaku perkongsian pemikiran dan hati, jauh merentasi perbezaan budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional merupakan satu proses berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati dan berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011: 179-180). 

     Integrasi Nasional merujuk kepada satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

No comments:

Post a Comment